Wednesday, November 3, 2010

Mari Menjadi Manusia



Saya tak pernah bosan menjadi pendengar yang setia. Mendengar masalah orang, Saya tak pernah bosan menjadi pendengar yang setia. Mendengar masalah orang, membuatkan saya bertambah bersyukur kerana Tuhan tidak menguji saya dengan ujian sebegitu. Antara yang banyak diluahkan ialah tentang soal ketenangan serta matlamat hidup. Apa yang perlu kita beruasaha untuk mencapai ialah matlamat dan tujuan hidup.

Mari menjadi manusia
Bercakap memang mudah. Benar, kita manusia tapi belum tentu kita ada sifat kemanusiaan.

Manusia dan kemanusiaan, hakikatnya dua benda berbeza.

Manusia diciptakan Allah, bukan untuk bermain-main atau tiada tujuan.

Ramai manusia kabur dan tidak nampak apa tujuan dia hidup.

Maka, dia mudah berputus asa. Hidupnya sukar, penuh dengan duka, tidak kenal erti ketenangan dan tidak bahagia.

Jiwanya kosong, tercari-cari matlamat hidup.

Faktor utama ialah kerana tidak tahu.

Moga-moga artikel pendek ini berjaya merubah keadaan kita yang "'tidak tahu" menjadi "tahu".

Firman Allah dalam surah Al-Mukminun ayat 115.

"Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu bermain-main (tanpa ada maksud) dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"

Suatu ayat sindir, Allah tujukan kepada kita untuk kita sama-sama muhasabah diri.

Secara asasnya, manusia diciptakan Allah dengan 3 komponen, iaitu Hati, Akal dan Jasad.

Ketiga-tiga komponen ini ada tugas dan peranan. Peranan hati ialah untuk membuat pilihan. Firman Allah dalam surah Al-Kahfi ayat 29.

" ... maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya.."

Dalam hidup,manusia diberi pelbagai pilihan.

Pilihan samada untuk mengalihkan pandangan atau tidak apabila ternampak aurat manusia, membuat pilihan sama ada mahu bercakap atau diam apabila mendengar azan, membuat pilihan samada mahu menegur atau lari apabila mendengar orang mengumpat, dan lain-lain.

Siapa kata dia tiada pilihan, maka dia pembohong. Pilihan sentiasa ada, cuma kekuatan saja yang kadang ada kadang tiada. Kerana itulah wujud "'dosa terpaksa".

Peranan Akal pula ialah untuk berfikir. Berfikir akan baik buruk sesuatu benda. Memikirkan kesan dan akibat dan memikirkan bagaimana mahu mendapat redha Allah. Firman Allah dalam surah Al-Isra' ayat 36

"Dan janganlah engkau mengikut sesuatu yang kamu tidak tahu. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya".

Sangat jelas, peranan akal untuk berfikir dan menilai sesuatu, sebelum bertindak. Contohnya, jika aku tinggal solat, apa kesannya kepada aku? Jika aku bercouple, apa kesannya kepada aku?

Jika aku tengok filem tu, apa kesannya kepada aku? Semua persoalan ini harus dinilai oleh akal.

Akhir sekali, peranan jasad iaitu untuk beramal. Tipulah jika kita mengaku kita beriman, tapi tidak beramal.

Tipulah jika kita mengaku beriman tapi tidak dibuktikan dengan perbuatan.

Rasanya tidak perlu huraian yang panjang bagi amal. Cukuplah kita faham bahawa kita tidak dikira beriman selagi kita belum melaksanakan tuntutan iman.

Dengan wujudnya 3 komponen penting ini dalam diri manusia, layaklah manusia menjadi sebaik-baik makhluk, berbeza dengan haiwan. Namun, dengan anugerah hati, akal dan jasad ini, Allah telah memberi kita amanah sejak kita di alam roh hingga hujung nyawa.

Amanah yang memerlukan kepada pengorbanan dan perjuangan.

Apakah amanah-amanah itu?

Ia adalah tuntutan ibadah dan menjadi khalifah.

Firman Allah dalam surah Adz-Zariyat ayat 56 :

"Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku".

Tiada persoalan, tiada bantahan. Jelas.

Selain beribadah, kita juga adalah khalifah di muka bumi ini. Ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam ayat ke 30 dalam surah al-Baqarah;

"Aku hendak menjadikan khalifah dimuka bumi ini".

Sesuatu yang kita harus hayati ialah bagaimana untuk kita melaksanakan dua perkara dalam satu masa, iaitu beribadah dan menjadi khalifah.

Secara teori, ia mudah kerana menjadi khalifah itu sendiri ialah ibadah kerana segala perbuatan kita adalah ibadah kepada Allah s.w.t. Kita diperintah oleh Allah untuk memakmurkan bumi.

Maka, jika orang tanya saya apa matlamat hidup saya, saya akan menjawab saya mahu menjadi manusia yang bermanfaat.

Matlamat hidup,tujuan hidup dan apa yang saya kejar di dunia ini hanyalah apa yang Allah suruh- iaitu menjadi manusia yang bermanfaat dan sentiasa beribadah kepada-Nya.

Akhir sekali, selepas kita diberikan amanah, Allah menyediakan balasan kepada kepada kita. Jelas, orang-orang yang berusaha menunaikan amanah, Allah sediakan syurga dan bagi manusia yang tidak tahu, tidak mahu dan tidak peduli dengan amanah ini, Allah sediakan neraka. (Nauzubillah).

Kesimpulan
Saya juga masih mencuba-cuba untuk menjadi manusia. Manusia yang ada "fungsi", ada matlamat dan ada tujuan.

Ia memang tidak mudah, tapi cukuplah jika Allah tahu saya berusaha dan akan terus berusaha sehingga saya mati.

Semoga usaha saya ini diterima Allah s.w.t.


SUMBER : ILUVISLAM.COM